Wednesday, 5 October 2016

Pengalaman di Sungai Badak



           Pada 3/10/2016, saya dan rakan-rakan sekelas telah bersama-sama menghadiri aktiviti luar kelas di Sungai Badak, Universiti Utara Malaysia (UUM). Pengalaman ini amat berharga buat kami sekelas kerana ia merupakan pertama kali kami diberi peluang untuk berkomunikasi dengan lebih banyak. Jadual kelas yang padat menyebabkan kami sering tergesa-gesa untuk bergerak ke kelas masing-masing. Dijalankan dalam waktu pelajaran, saya telah datang tepat pada waktunya. Namun, sebelum itu, saya juga terpaksa berjalan jauh kerana saya telah memakir kenderaan saya jauh daripada tempat pertemuan. Apabila sampai di sungai tersebut, barulah saya tahu bahawa terdapat tempat memakir kenderaan yang lebih dekat. Walaubagaimanapun, ia tidak mematahkan keseronokan saya untuk menaiki bot punting bersama rakan-rakan yang lain.

            Pada sekitar pukul 9 pagi, semua pelajar telah berkumpul di Sungai Badak dan dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Terdapat dua buah kelas yang bergabung untuk melaksanakan aktiviti luar kuliah ini dan ia telah menambahkan kemeriahan aktiviti kami. Kelas kami juga dipecahkan kepada dua, iaitu kumpulan lelaki dan kumpulan perempuan. Sebelum aktiviti bermula, kami telah diberikan taklimat ringkas tentang aturcara program dan sesi bergambar telah dijalankan sebagai tanda kenang-kenangan antara pelajar dan pensyarah-pensyarah Pengantar Penulisan. Kumpulan kami, yang terdiri daripada saya, Kiki, Farah, Intan, Zara dan Mas telah memulakan perjalanan yang pertama. Giliran kami dimulakan agak lewat kerana sampan terpaksa dibersihkan dahulu kerana air bertakung. Keadaan cuaca pada hari tersebut tidak menentu di mana hujan akan turun pada bila-bila masa di sepanjang hari. Walaupun begitu, kami amat gembira dan teruja untuk menaiki punting kerana ia merupakan kali pertama buat kami semua untuk menaiki sampan punting di Sungai Badak itu. 

            Ketika kami diarah untuk menaiki punting, punting yang kami naiki itu tidak seimbang dan menimbulkan rasa risau dan gementar. Kami agak senyap di awal kayuhan sampan kerana masing-masing tidak yakin dengan ketahanan sampan. Malahan, kami juga ditegur oleh pendayung punting tersebut yang mengatakan bahawa kami tidak perlu untuk berasa takut kerana semuanya berada di dalam keadaan yang terkawal dan mereka sememangnya mahir dalam membawa pelajar mahupun pelawat luar untuk melihat suasana di UUM menaiki punting. Ketika di pertengahan jalan, kami mula berbual dan mengambil gambar untuk dijadikan bahan penulisan di blog ini dan perlahan-lahan perasaan cuak itu hilang. Kami juga diberitahu bahawa gambar yang paling menarik akan diberi ganjaran dan ia membuatkan kami lebih bersemangat untuk mengambil gambar yang terbaik. Tidak dapat dinafikan, perasaan gementar kami dapat diatasi sekiranya kami benar-benar percaya kepada diri kami tanpa terlalu memikirkan kebarangkalian perkara buruk akan terjadi.

         Tanpa disedari, pusingan punting kumpulan kami telahpun selesai. Setelah sampai di tempat kami bergerak tadi, kami mengambil giliran untuk menjamu selera dan kayuhan sampan disambung oleh kumpulan lain. Kumpulan lain juga kelihatan panik ketika mula-mula ingin menaiki punting namun saya pasti mereka juga mengalami keseronokan setelah beberapa minit berada di atas punting itu. Tanpa melengahkan masa, saya dan ahli kumpulan yang lain terus menuju ke bangku yang penuh dengan makanan. Kami berasa amat seronok apabila melihat juadah yang terhidang di depan mata setelah melalui saat-saat getir di atas punting. Makanan yang disediakan juga sangat enak dan semua amat menikmati sarapan di tepi Sungai Badak tadi. Apa yang menjadikan ia lebih istimewa ialah cream puff  yang sangat lembut dan lazat itu disediakan sendiri oleh pensyarah kelas kami, Puan Nor Hafidah Ibrahim. Kami sama-sama menikmati makanan sambal menghargai pemandangan di sekeliling yang jelas menunjukkan kelebihan UUM sebagai sebuah universiti rimba hijau. 

            Pada saat itu, saya mula bersyukur apabila diberi kesempatan untuk belajar di sebuah universiti di mana situasi dan keadaannya sangat kondusif dan jauh daripada pencemaran seperti di bandar-bandar yang lain. Idea Tun Mahathir Mohamed amat membuahkan hasil dan membuka mata ramai pihak. Siapa sangka dan siapa pernah terduga untuk membangunkan sebuah kawasan hutan tebal kepada sebuah universiti pengurusan yang kini terkemuka di seluruh Malaysia? Aktiviti punting mungkin tidak sesuai untuk dilakukan di kawasan bandar di mana cuacanya panas dan terik, namun dengan bantuan pokok-pokok hijau di UUM, punting dapat dijadikan salah satu aktiviti riadah untuk pelajar-pelajar di universiti ini. Angin yang sepoi-sepoi bahasa membuatkan kami terasa seperti berada di luar negara.


           Namun, masa amat mencemburui kami semua. Beberapa pelajar perlu pergi ke kelas seterusnya dan sebelum meninggalkan kawasan, kami sempat membersihkan sampah-sampah yang dihasilkan sepanjang program itu. Meskipun penat, kami amat gembira kerana dapat bersama-sama membersihkan kawasan di Sungai Badak. Botol-botol kosong kami kumpulkan di dalam beberapa beg plastik untuk dikitar semula dan botol-botol yang tidak bertuan kami ambil air di dalamnya untuk disiram ke pokok-pokok sekitar kawasan itu. Kami telah meninggalkan Sungai Badak itu sepertimana keadaannya apabila kami sampai di sana. Setelah selesai membersihkan kawasan di Sungai Badak, kami telah mengadakan sesi bergambar sekali lagi sesama kami. Walaupun penat, ia tidak membuatkan kami untuk rasa tidak bermaya malah berasa gembira kerana kami dapat mempelajari pelbagai benda baharu.

             Saya mula berfikir tentang aktiviti-aktiviti lain yang saya tidak pernah mencuba sendiri untuk mendapatkan pengalaman sepanjang saya berada di sini. Walaupun kini sudah hampir 3 tahun saya menyambung pelajaran di UUM, hanya beberapa kemudahan sahaja yang saya telah cuba. Antara aktiviti-aktiviti menarik lain yang terdapat di dalam UUM adalah menaiki kuda, melihat burung unta dan rusa, menaiki go-kart dan menggunakan kolam renang di pusat sukan. Adapun kelebihan-kelebihan tersebut di dalam UUM, masa sering menjadi kekangan buat saya dan pelajar yang lain untuk beriadah bersama-sama. Ada pelajar yang belajar di universiti lain yang tidak berkesempatan untuk merasai peluang seperti ini. Jadi, bagi saya, amat rugi sekiranya kami tidak menggunakan kemudahan-kemudahan ini selagi kami bergelar pelajar UUM. Walaupun UUM bukan sebuah universiti yang berada di tengah bandar, namun inilah yang bakal dirindui kami sejurus kami selesai menuntut ilmu di bumi Sintok ini. Bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik di universiti sendiri kerana di sinilah kami menghadapi turun dan naik sebagai seorang yang menongkah ke alam kedewasaan. 

            Sebagai kesimpulan, saya amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk mengalami sendiri pengalaman menaiki punting. Setelah 7 semester berada di universiti ini, tidak sekalipun saya mencuba aktiviti ini. Ramai yang bertanyakan saya tentang cara-cara untuk menaiki punting tersebut kerana ramai tidak begitu didedahkan dengan aktiviti riadah yang baru ini. Jika saya berkesempatan untuk memberi cadangan kepada pihak universiti, saya ingin mencadangkan bahawa aktiviti punting ini diuar-uarkan kepada pelajar tempatan dan pelajar asing termasuklah cara pendaftaran dan yuran permainan. Sekiranya lebih ramai pelajar yang mengetahui tentang aktiviti ini, sudah tentulah semakin meriah kawasan di sekitar di Sungai Badak itu. Pihak universiti juga perlu bijak untuk menggunaan sosial media dengan sepenuhnya memandangkan pelajar-pelajar sering mengakses laman sosial pada kebanyakan masa. Sekiranya ia dapat menarik minat pelajar untuk melakukan aktiviti tersebut, sudah tentu pelajar-pelajar akan rasa teruja dan seterusnya memuat naik gambar-gambar mereka di laman sosial dan sekali gus membuka mata orang luar tentang kelebihan-kelebihan yang terdapat di UUM.
            Antara yang lain juga, saya dapat pelajari bahawa kerjasama antara pelajar amat penting bagi memastikan program berjalan dengan lancar. Bermula daripada pembahagian kumpulan, strategi untuk memastikan sampan punting itu tidak senget sehinggalah aktiviti gotong-royong kami membersihkan kawasan Sungai Badak. Sekiranya terdapat ahli kumpulan yang tidak mahu bekerjasama atau ingin berada di tampuknya sendiri, sudah tentulah program tidak akan berjalan seperti yang diharapkan dan aktiviti pasti tidak akan jadi menyeronokkan. Saya amat bersyukur kerana dikurniakan rakan sekelas yang sangat berdedikasi dan ringan tulang. Selain mempelajari ilmu penulisan, kami juga dapat mengasah ilmu komunikasi dan kehidupan berkumpulan. Sekiranya diberi peluang lagi, sudah tentu saya ingin pergi semula ke Sungai Badak dan merasai pengalaman menaiki punting buat kali kedua.


p/s: Saya juga amat berbesar hati kerana telah berkesempatan untuk bergambar dengan seorang pelajar yang dikatakn mempunyai wajah seiras dengan jaguh badminton negara, Dato' Lee Chong Wei. Semoga beliau juga diberikan kesempatan untuk berjaya seperti pelanduk dua serupanya. :)

No comments:

Post a Comment