Thursday 17 November 2016

PUTERI PUTIH YANG SOMBONG (Cerita Kanak-kanak)



           
Gambar sekadar hiasan.
Puteri Sarah Rania merupakan seorang puteri raja di suatu daerah bernama Kota Pelangi Indah. Ketika mengandungkannya, bondanya, Permaisuri Veeda mempunyai alahan yang sangat teruk dan membuatkan dia sering mengalami detik-detik komplikasi yang mencemaskan sehinggalah di saat puteri dilahirkan. Malang tidak berbau apabila permaisuri tidak dapat meneruskan hayatnya selepas melahirkan puteri itu. Seluruh Kota Pelangi Indah bersedih hati dan berkabung selama 3 bulan bagi meratapi pemergian sang permaisuri yang disayangi rakyat jelata. Ayahandanya, Raja Bakar Batu kemudiannya menamakan puteri tersebut sebagai Puteri Sarah Rania yang membawa maksud puteri atau wanita yang menjadi kesukaan. Baginda menganggap puteri sebagai pengganti isterinya dan dek kerana wajah puteri yang putih dan saling tidak tumpah wajah bondanya, Raja Bakar Batu menggelarkannya Puteri Putih dan rakyat jelata juga mengenali puteri dengan gelaran tersebut. Seluruh penduduk kota tersebut amat teruja untuk melihat detik-detik puteri membesar dan harapan agar dapat menggantikan kedudukan pemaisuri yang dahulu dengan baik.
            Puteri Putih dibesarkan dengan keadaan yang serba mewah dan apa sahaja permintaannya pasti akan ditunaikan oleh keluarganya, terutama ayahandanya. Pendek kata, puteri tidak biasa untuk melihat ketidaksempurnaan di matanya. Dayang-dayang di istana tempat tinggalnya sudah lali dengan kelakuan puteri yang tidak menggemari orang luar dan apa-apa sahaja yang difikirkan mengganggu ketenangannya. Puteri juga tidak punya ihsan terhadap binatang dan sering menyeksa mana-mana kucing yang berada di halaman istananya. Kehidupannya cuma di istana dan jarang sekali puteri mencemar dulinya. Sepuluh tahun sudah berlalu, Raja Bakar Batu sudah menjumpai pengganti Permaisuri Veeda dan mengahwini Kasheena Dewi bagi menghilangkan kesunyian. Puteri Putih berasa disisihkan kerana ayahandanya tidak lagi memberi perhatian kepadanya dan sering meluangkan masa dan hartanya kepada Kasheena Dewi. Perasaan cemburu yang membuak-buak membuatkan sang puteri tekad untuk melarikan diri dari istana. Puteri meminta bantuan dayang yang paling dekat dengannya, Kelsum untuk memerhatikan keadaan supaya puteri dapat pergi tanpa pengetahuan sesiapa. Kelsum berasa berat hati dan amat serba salah terhadap Raja yang telah memberikan kepercayaan yang penuh terhadapnya namun atas desakan dan ugutan puteri yang ingin membongkarkan rahsia bahawa Kelsum pernah mencuri cincin emas pemberian bondanya terhadap Raja, Kelsum pasrah dengan desakan puteri itu.
            Puteri melangkahkan kakinya menuju ke hutan yang berdekatan bagi mencari tempat berteduh. Bagi memastikan wajahnya tidak dikenali oleh orang ramai, puteri telah menyamar sebagai seorang kanak-kanak lelaki dengan memotong rambutnya dengan paras yang sangat pendek dan berpakaian seperti seorang kanak-kanak lelaki yang normal. Penyamarannya berjaya apabila tiada seorang pun yang meragui identitinya. Tambahan pula Puteri Putih dahulunya memang sukar untuk bertemu dengan rakyat dan ini menyebabkan penduduk kota tidak berapa mengingati wajah puteri. Sepanjang perjalanan ke hutan, puteri telah terserempak dengan seorang kanak-kanak perempuan yang kelihatan daif dengan pakaian yang lusuh serta berambut kusut masai. Tidak tahan melihat hal yang merosakkan pemandangannya, puteri dengan lantangnya bertanyakan tentang keadaan kanak-kanak itu dengan pertanyaan yang berbaur penghinaan. Dengan nada sedikit kecewa, kanak-kanak itu menjawab, “Aku tahu aku ini serba kekurangan, apa yang aku ada kini hanyalah pakaian yang aku pakai ketika kejadian kebakaran rumahku tiga bulan lepas. Aku tidak punya apa-apa, ibu dan ayahku telah pergi ketika ingin menyelamatkan aku dari kebakaran. Aku cuma hidup atas ihsan penduduk kota yang memberi aku sisa-sisa makanan mereka.” Puteri masih menutup hidungnya kerana tidak tahan dengan bau kanak-kanak itu dan berlalu pergi dengan sangat pantas. Sebelum beredar, puteri sempat menjeling kanak-kanak itu dengan pandangan yang sangat jijik.
            Baru sahaja Puteri Putih melangkah beberapa langkah, seekor anjing liar berlari laju menuju ke arah puteri. Puteri amat terkejut dan mempercepatkan lariannya sambal menjerit meminta pertolongan. Hampir sahaja puteri diterkam oleh anjing liar tersebut namun lariannya terhenti apabila suara anjing itu tidak lagi kedengaran. Apabila puteri menoleh, puteri melihat seekor serigala telahpun menerkam dan menggigit leher anjing liar tersebut. Puteri tercengang melihat apa yang baru sahaja berlaku di hadapannya. Dalam keadaan yang terkejut, serigala tersebut bertukar menjadi seorang kanak-kanak perempuan. Ya! Kanak-kanak yang telah dihina oleh Puteri Putih tadi. “Apa..?” Puteri soal dirinya sendiri. “Ya, benar. Aku boleh bertukar menjadi serigala dan apa-apa jenis binatang juga untuk menyelamatkan diri aku dan sesiapa sahaja daripada apa-apa bahaya. Serigala tadi merupakan diri aku yang kedua dan kelebihan ini telah diberi oleh ayahku sebelum dia menutup matanya buat kali terakhir.” Lama mereka berbual dan puteri mendengar kisah kanak-kanak itu dengan penuh khusyuk. “Oh ya, siapakah nama kamu?”, soal Puteri Putih. “Namaku Jasmin. Kamu pula?” Puteri ragu-ragu untuk membongkarkan rahsianya namun dia tahu bahawa Jasmin boleh dipercayai. Puteri Putih kemudian menceritakan satu persatu jalan kehidupannya kepada Jasmin dan Jasmin amat terkejut kerana dia menyangkakan bahawa puteri ialah seorang kanak-kanak lelaki. Mereka menjadi rapat dan mereka telah meluangkan masa berminggu-minggu bersama melakukan perkara-perkara yang kanak-kanak seperti mereka biasa lakukan. Puteri berasa amat bahagia dan terdapat perasaan gembira yang tidak pernah dirasainya sebelum ini.
            Namun, kebahagiannya tidak kekal lama apabila terdapat tentera-tentera yang dipercayai dihantar oleh ayahandanya untuk menangkap puteri. Meraka amat terkejut dan kemudiannya berlari untuk meloloskan diri. Jasmin kemudiannya menukarkan dirinya kepada serigala untuk melawan tentera-tentera tersebut. Jasmin meminta puteri untuk melarikan diri sementara dia bergelut dengan lawan mereka. Setelah beberapa lama berlawan, Jasmin mula berasa lemah dan akhirnya tersungkur ke dalam genggaman tentera Raja Bakar Batu. Dari jauh puteri melihat sahabatnya itu dalam kesakitan dan puteri mulai menangis dengan kuat. Tanpa disedari, puteri juga berjaya ditangkap oleh kumpulan tentera tersebut. Puteri pengsan akibat terlalu letih dan kecewa. Puteri kemudiannya dibawa ke belerang istana ayahandanya. Setelah puteri sedar, dia melihat riak ayahandanya yang begitu marah bercampur sedih. Setelah menyedari puteri telah terjaga, Raja Bakar Batu menggertak puteri tunggalnya itu dan memarahinya kerana melarikan diri dari istana. Puteri mempertahankan dirinya dan memberitahu bahawa ayahandanya itu tiada masa untuk bersamanya dan puteri ingin mencari kebahagiaan di luar. Semua yang berada di kotak pemikiran puteri dilepaskannya supaya ayahandanya itu faham. Sejurus selepas mendengar luahan hati anaknya, Raja Bakar Batu menitiskan air matanya dan memohon maaf kepada puteri kerana tidak memahami perasaan puteri dan telah gagal untuk mendidik puteri untuk menjadi seorang anak yang patuh dengan cara yang sepatutnya. Baginda juga memberitahu bahawa dirinya telah berpisah dengan Kasheena Dewi kerana dia hanya menginginkan harta baginda. Baginda telah dipergunakan oleh Kasheena Dewi dan telah menangkap bekas isterinya itu dengan seorang pemuda yang jauh lebih muda daripadanya. Baginda berasa amat menyesal dengan perbuatannya dan berjanji tidak akan leka dalam memberikan kasih sayang dan didikan kepada Puteri Putih lagi.
            Lama Raja Bakar Batu melihat puterinya yang sedang termenung memikirkan sesuatu. Baginda mengetuk pintu kamar puterinya. Puteri Putih tersentak dari lamunan dan menegur ayahandanya dengan tenang. Ayahandanya tidak masuk bertangan kosong. Baginda mengeluarkan sabuah sangkar berserta seekor kucing comel di dalamnya. Puteri sangat berbesar hati menerima hadiah ayahandanya itu dan dia bertanya kepada ayahandanya apakah nama kucing tersebut. “Jasmin,” jawab Raja Bakar Batu sambal tersenyum. Puteri amat terkejut lantas mengeluarkan kucing tersebut dan memeluknya dengan erat. Sejak dari peristiwa hari itu, puteri menjadi seorang yang sangat penyayang kepada binatang dan mula menghormati orang-orang di sekelilingnya. Ayahandanya sangat gembira melihat perubahan sikap puteri tunggalnya itu dan berjanji akan memberikan sepenuh perhatian kepada Puteri Putih selagi hayatnya masih ada.
              Kucing yang bernama Jasmin itu menjadi temannya ke mana sahaja dia pergi. Malah, ketika Puteri Putih menghadapi saat-saat kesukaran, Jasmin menjadi pelindung kepada dirinya. Ada suatu kejadian di mana Puteri Putih diganggu oleh sekumpulan pengganas di kotanya, namun Jasmin telah merubah dirinya menjadi seekor harimau yang besar dan sangat garang. Pengganas-pengganas itu telah dibaham dan ada yang sempat melarikan diri. Ada di suatu kejadian yang lain pula, terdapat seorang pembantu peribadi ayahandanya telah membuat percubaan membunuh terhadap ayahandanya. Pembantu peribadi ayahandanya itu tidak tahu akan kelebihan yang terdapat pada Jasmin dan tanpa mengesyaki apa-apa, pembantu itu mengambil pisau perlahan-lahan dan cuba untuk menikam baginda dari bahagian belakang. Menyedari hal itu, Jasmin bertukar menjadi tikus dan memasuki seluar pembantu peribadi itu lalu pembantu ini mengerang kesakitan dan mengejutkan baginda yang sedar tidur. Pisau yang berada di genggaman tangannya terlepas dan dirinya jatuh terduduk, Dengan perasaan terkejut, baginda terbangun dan mengejutkan beberapa penjaga bangunan yang lain. Baginda berasa amat marah dan kecewa kerana pembantu peribadinya itu menyatakan sebab dia ingin membunuh baginda hanyalah kerana dia cemburu dengan kedudukan baginda dan merasakan dirinya yang layak untuk mentadbir kota dengan lebih baik. Baginda kemudiannya mengarahkan penjaga-penjaga istana untuk menangkap pembantunya itu dan meletakkan dia ke dalam sel penjara yang paling dalam. Puteri Putih amat bersyukur apabila mengetahui ayahandanya selamat dalam kejadian itu dan amat berterima kasih kepada Jasmin. Walaupun ayahandanya tidak mengetahui tentang kelebihan Jasmin, ayahandanya menjaga Jasmin dengan sangat baik dan memahami dirinya yang tidak boleh lekang dengan kucing kesayangannya itu.
           Sepuluh tahun sudah berlalu, Jasmin masih setia bersama Puteri Putih. Walaupun tidak mempunyai ramai kawan, Puteri Putih berasa amat gembira berada di samping Jasmin. Namun, jodoh mereka tidak panjang kerana Jasmin telah hilang selama lima hari berturut-turut. Puas Puteri Putih mencari kucingnya itu di sekitar istana namun tidak jumpa. Puteri Putih tidak dapat menahan sedihnya kerana kucing yang sentiasa membantunya tiada lagi dalam pandangan mata Puteri Putih. Puteri berasa amat risau sekiranya terjadi apa-apa kepada Jasmin dan fikirannya bercelaru memikirkan cara untuk menemui semula Jasmin sehinggalah di suatu hari di mana Puteri berjalan keseorangan di atas Bukit Sakti. Puteri duduk bersorangan di atas puncak bukit itu mengenangkan nasibnya dan juga Jasmin yang entah di mana. Sedang Puteri sedang asyik mengelamun, Puteri terasa seperti ada yang menyentuh bahunya. Puteri memandang kebelakangnya dan terlihat Jasmin yang berbentuk manusia! Puteri tidak dapat menahan air matanya dari terus mengalir dan memeluk Jasmin. Jasmin duduk di sebelahnya dan berkata, "Maafkan aku Puteri Putih, aku ke sini sebentar sahaja. Aku di sini ingin menjelaskan keadaan aku. Aku sudah tidak mampu untuk menahan kesakitan yang selama ini aku tanggung. Aku sudah terlalu letih. Aku terpaksa pergi dahulu dan mungkin suatu masa nanti, kita akan berjumpa juga di tempat yang lebih baik." Puteri Putih berasa amat sedih dan menjerit, "Jasmin!" namun tiada jawapan. Puteri melihat bayangan Jasmin naik ke arah langit dengan cahaya yang sangat terang. Puteri pulang ke istana dengan perasaan yang bercampur baur. Selang beberapa bulan kemudian, barulah Puteri mulai hidupnya dengan biasa namun Jasmin tetap berada dalam ingatannya sentiasa. 

Direka oleh: FATIN AMIRAH BINTI AHMAD FUAD (228817)

Wednesday 5 October 2016

Pengalaman di Sungai Badak



           Pada 3/10/2016, saya dan rakan-rakan sekelas telah bersama-sama menghadiri aktiviti luar kelas di Sungai Badak, Universiti Utara Malaysia (UUM). Pengalaman ini amat berharga buat kami sekelas kerana ia merupakan pertama kali kami diberi peluang untuk berkomunikasi dengan lebih banyak. Jadual kelas yang padat menyebabkan kami sering tergesa-gesa untuk bergerak ke kelas masing-masing. Dijalankan dalam waktu pelajaran, saya telah datang tepat pada waktunya. Namun, sebelum itu, saya juga terpaksa berjalan jauh kerana saya telah memakir kenderaan saya jauh daripada tempat pertemuan. Apabila sampai di sungai tersebut, barulah saya tahu bahawa terdapat tempat memakir kenderaan yang lebih dekat. Walaubagaimanapun, ia tidak mematahkan keseronokan saya untuk menaiki bot punting bersama rakan-rakan yang lain.

            Pada sekitar pukul 9 pagi, semua pelajar telah berkumpul di Sungai Badak dan dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Terdapat dua buah kelas yang bergabung untuk melaksanakan aktiviti luar kuliah ini dan ia telah menambahkan kemeriahan aktiviti kami. Kelas kami juga dipecahkan kepada dua, iaitu kumpulan lelaki dan kumpulan perempuan. Sebelum aktiviti bermula, kami telah diberikan taklimat ringkas tentang aturcara program dan sesi bergambar telah dijalankan sebagai tanda kenang-kenangan antara pelajar dan pensyarah-pensyarah Pengantar Penulisan. Kumpulan kami, yang terdiri daripada saya, Kiki, Farah, Intan, Zara dan Mas telah memulakan perjalanan yang pertama. Giliran kami dimulakan agak lewat kerana sampan terpaksa dibersihkan dahulu kerana air bertakung. Keadaan cuaca pada hari tersebut tidak menentu di mana hujan akan turun pada bila-bila masa di sepanjang hari. Walaupun begitu, kami amat gembira dan teruja untuk menaiki punting kerana ia merupakan kali pertama buat kami semua untuk menaiki sampan punting di Sungai Badak itu. 

            Ketika kami diarah untuk menaiki punting, punting yang kami naiki itu tidak seimbang dan menimbulkan rasa risau dan gementar. Kami agak senyap di awal kayuhan sampan kerana masing-masing tidak yakin dengan ketahanan sampan. Malahan, kami juga ditegur oleh pendayung punting tersebut yang mengatakan bahawa kami tidak perlu untuk berasa takut kerana semuanya berada di dalam keadaan yang terkawal dan mereka sememangnya mahir dalam membawa pelajar mahupun pelawat luar untuk melihat suasana di UUM menaiki punting. Ketika di pertengahan jalan, kami mula berbual dan mengambil gambar untuk dijadikan bahan penulisan di blog ini dan perlahan-lahan perasaan cuak itu hilang. Kami juga diberitahu bahawa gambar yang paling menarik akan diberi ganjaran dan ia membuatkan kami lebih bersemangat untuk mengambil gambar yang terbaik. Tidak dapat dinafikan, perasaan gementar kami dapat diatasi sekiranya kami benar-benar percaya kepada diri kami tanpa terlalu memikirkan kebarangkalian perkara buruk akan terjadi.

         Tanpa disedari, pusingan punting kumpulan kami telahpun selesai. Setelah sampai di tempat kami bergerak tadi, kami mengambil giliran untuk menjamu selera dan kayuhan sampan disambung oleh kumpulan lain. Kumpulan lain juga kelihatan panik ketika mula-mula ingin menaiki punting namun saya pasti mereka juga mengalami keseronokan setelah beberapa minit berada di atas punting itu. Tanpa melengahkan masa, saya dan ahli kumpulan yang lain terus menuju ke bangku yang penuh dengan makanan. Kami berasa amat seronok apabila melihat juadah yang terhidang di depan mata setelah melalui saat-saat getir di atas punting. Makanan yang disediakan juga sangat enak dan semua amat menikmati sarapan di tepi Sungai Badak tadi. Apa yang menjadikan ia lebih istimewa ialah cream puff  yang sangat lembut dan lazat itu disediakan sendiri oleh pensyarah kelas kami, Puan Nor Hafidah Ibrahim. Kami sama-sama menikmati makanan sambal menghargai pemandangan di sekeliling yang jelas menunjukkan kelebihan UUM sebagai sebuah universiti rimba hijau. 

            Pada saat itu, saya mula bersyukur apabila diberi kesempatan untuk belajar di sebuah universiti di mana situasi dan keadaannya sangat kondusif dan jauh daripada pencemaran seperti di bandar-bandar yang lain. Idea Tun Mahathir Mohamed amat membuahkan hasil dan membuka mata ramai pihak. Siapa sangka dan siapa pernah terduga untuk membangunkan sebuah kawasan hutan tebal kepada sebuah universiti pengurusan yang kini terkemuka di seluruh Malaysia? Aktiviti punting mungkin tidak sesuai untuk dilakukan di kawasan bandar di mana cuacanya panas dan terik, namun dengan bantuan pokok-pokok hijau di UUM, punting dapat dijadikan salah satu aktiviti riadah untuk pelajar-pelajar di universiti ini. Angin yang sepoi-sepoi bahasa membuatkan kami terasa seperti berada di luar negara.


           Namun, masa amat mencemburui kami semua. Beberapa pelajar perlu pergi ke kelas seterusnya dan sebelum meninggalkan kawasan, kami sempat membersihkan sampah-sampah yang dihasilkan sepanjang program itu. Meskipun penat, kami amat gembira kerana dapat bersama-sama membersihkan kawasan di Sungai Badak. Botol-botol kosong kami kumpulkan di dalam beberapa beg plastik untuk dikitar semula dan botol-botol yang tidak bertuan kami ambil air di dalamnya untuk disiram ke pokok-pokok sekitar kawasan itu. Kami telah meninggalkan Sungai Badak itu sepertimana keadaannya apabila kami sampai di sana. Setelah selesai membersihkan kawasan di Sungai Badak, kami telah mengadakan sesi bergambar sekali lagi sesama kami. Walaupun penat, ia tidak membuatkan kami untuk rasa tidak bermaya malah berasa gembira kerana kami dapat mempelajari pelbagai benda baharu.

             Saya mula berfikir tentang aktiviti-aktiviti lain yang saya tidak pernah mencuba sendiri untuk mendapatkan pengalaman sepanjang saya berada di sini. Walaupun kini sudah hampir 3 tahun saya menyambung pelajaran di UUM, hanya beberapa kemudahan sahaja yang saya telah cuba. Antara aktiviti-aktiviti menarik lain yang terdapat di dalam UUM adalah menaiki kuda, melihat burung unta dan rusa, menaiki go-kart dan menggunakan kolam renang di pusat sukan. Adapun kelebihan-kelebihan tersebut di dalam UUM, masa sering menjadi kekangan buat saya dan pelajar yang lain untuk beriadah bersama-sama. Ada pelajar yang belajar di universiti lain yang tidak berkesempatan untuk merasai peluang seperti ini. Jadi, bagi saya, amat rugi sekiranya kami tidak menggunakan kemudahan-kemudahan ini selagi kami bergelar pelajar UUM. Walaupun UUM bukan sebuah universiti yang berada di tengah bandar, namun inilah yang bakal dirindui kami sejurus kami selesai menuntut ilmu di bumi Sintok ini. Bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik di universiti sendiri kerana di sinilah kami menghadapi turun dan naik sebagai seorang yang menongkah ke alam kedewasaan. 

            Sebagai kesimpulan, saya amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk mengalami sendiri pengalaman menaiki punting. Setelah 7 semester berada di universiti ini, tidak sekalipun saya mencuba aktiviti ini. Ramai yang bertanyakan saya tentang cara-cara untuk menaiki punting tersebut kerana ramai tidak begitu didedahkan dengan aktiviti riadah yang baru ini. Jika saya berkesempatan untuk memberi cadangan kepada pihak universiti, saya ingin mencadangkan bahawa aktiviti punting ini diuar-uarkan kepada pelajar tempatan dan pelajar asing termasuklah cara pendaftaran dan yuran permainan. Sekiranya lebih ramai pelajar yang mengetahui tentang aktiviti ini, sudah tentulah semakin meriah kawasan di sekitar di Sungai Badak itu. Pihak universiti juga perlu bijak untuk menggunaan sosial media dengan sepenuhnya memandangkan pelajar-pelajar sering mengakses laman sosial pada kebanyakan masa. Sekiranya ia dapat menarik minat pelajar untuk melakukan aktiviti tersebut, sudah tentu pelajar-pelajar akan rasa teruja dan seterusnya memuat naik gambar-gambar mereka di laman sosial dan sekali gus membuka mata orang luar tentang kelebihan-kelebihan yang terdapat di UUM.
            Antara yang lain juga, saya dapat pelajari bahawa kerjasama antara pelajar amat penting bagi memastikan program berjalan dengan lancar. Bermula daripada pembahagian kumpulan, strategi untuk memastikan sampan punting itu tidak senget sehinggalah aktiviti gotong-royong kami membersihkan kawasan Sungai Badak. Sekiranya terdapat ahli kumpulan yang tidak mahu bekerjasama atau ingin berada di tampuknya sendiri, sudah tentulah program tidak akan berjalan seperti yang diharapkan dan aktiviti pasti tidak akan jadi menyeronokkan. Saya amat bersyukur kerana dikurniakan rakan sekelas yang sangat berdedikasi dan ringan tulang. Selain mempelajari ilmu penulisan, kami juga dapat mengasah ilmu komunikasi dan kehidupan berkumpulan. Sekiranya diberi peluang lagi, sudah tentu saya ingin pergi semula ke Sungai Badak dan merasai pengalaman menaiki punting buat kali kedua.


p/s: Saya juga amat berbesar hati kerana telah berkesempatan untuk bergambar dengan seorang pelajar yang dikatakn mempunyai wajah seiras dengan jaguh badminton negara, Dato' Lee Chong Wei. Semoga beliau juga diberikan kesempatan untuk berjaya seperti pelanduk dua serupanya. :)